Thursday 4 August 2011

Iklan 8TV : Kontroversi Daripada Kesilapan Lalu

Sumber daripada mStar Online berikutan iklan kontroversi yang sering berlaku di negara ini.

Isu mengenai iklan sempena Ramadan sepertimana yang ditayangkan oleh stesen televisyen 8TV yang kini mencetuskan kontroversi hanya memperlihatkan satu perkara iaitu Kumpulan Media Prima tidak belajar daripada kesilapan yang hampir sama yang dilakukannya tahun lalu.

Sebenarnya jalan cerita iklan tersebut yang memperlihatkan seorang gadis perempuan Cina berkelakuan tidak wajar di pasar Ramadan ketika membeli-belah yang disiarkan melalui tiga segmen itu tidak perlu pun ditayangkan.

Ini kerana majoriti anggota masyarakat dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia untuk sekian lamanya telah pun memahami dan menghormati adat resam dan agama bangsa lain.

Oleh yang demikian iklan yang berunsur hendak mengajar bangsa lain tentang tata tertib dan adab ketika membeli-belah di bulan puasa tidak patut pun dibuat dan ditayangkan.

Niat 8TV itu baik dan berunsur membimbing dan memberi panduan tetapi pelaksanaannya menjadi tidak baik kerana penerbit iklan serta stesen televisyen tersebut tidak peka dan mengambil kira sensitiviti bangsa lain ketika membuatnya.

Dan yang paling ketara ialah kenapa mesti diambil 'bangsa' atau 'keturunan Cina' untuk melakonkan watak-watak yang tidak patut dilakukan oleh seseorang pada bulan Ramadan - seolah-olah memberi isyarat yang tidak tepat kepada masyarakat kononnya bangsa itu yang paling kerap melakukan perbuatan yang boleh dianggap biadap dan tidak sesuai pada bulan Ramadan.

Ini sebenarnya tidak perlu. Tetapi kurangnya sensitiviti dan mungkin jalan cerita iklan itu yang tidak dibuat dengan teliti dan mengambil kira perasaan kaum lain telah menjadikan siaran iklan tersebut sebagai sesuatu yang sensitif dan tidak wajar.

Untuk makluman semua, iklan tersebut telah ke udara sewaktu slot berita utama 8TV beberapa hari lalu yang menunjukkan seorang gadis Cina berkelakuan tidak sopan, makan di khalayak ramai yang majoritinya orang Islam ketika membeli-belah di sebuah pasar ramadan dan segmen ketiga menunjukkan dia memakai blaus tanpa lengan dan mengangkat tangannya sehingga menyebabkan seorang ayah terpaksa menutup mata anak remaja lelakinya.

Iklan tersebut berakhir dengan dua orang lelaki yang memakai baju Melayu dan seorang wanita memakai baju kurung memberi nasihat umum agar janganlah bersikap keterlaluan di bulan Ramadan.

Sememangnya ia adalah iklan yang berniat baik iaitu berunsur nasihat tetapi malangnya dibuat tanpa mengambil kira akibat dan kesannya kepada satu pihak lagi iaitu kaum yang dijadikan 'contoh' sebagai berkelakuan tidak senonoh di bulan puasa.

Tahun lalu, sebuah lagi stesen Kumpulan Media Prima iaitu TV3 menyiarkan iklan yang turut mencetuskan kontroversi menjelang sambutan raya.

Iklan tersebut memperlihatkan bagaimana sekumpulan kanak-kanak yang bergembira hendak menyambut hari raya dibawa menaiki kereta rusa seperti dalam kisah-kisah Santa Klaus.

Selepas beberapa kali iklan itu ke udara, ia akhirnya ditarik balik sepertimana yang berlaku dalam isu terbaru melibatkan stesen 8TV ini.

Sebab itulah ramai yang berasa marah dan bertanya, bagaimana iklan-iklan seperti ini masih ke udara di dalam rangkaian stesen televisyen Media Prima seolah-olah mereka tidak mengambil iktibar dari pengalaman tahun lalu dan mengulanginya semula pada tahun ini.

Yang lebih malang lagi, kedua-dua iklan tersebut adalah berkaitan dengan perayaan umat Islam.

Isu sensitif seperti ini tidak harus berulang lagi untuk kali yang ketiga.

Lallakom - Minta pandangan JAKIM, mufti dan alim ulama' dan orang bijak pandai dalam agama sebelum membuat dan menyiarkan sesuatu iklan yang menyentuh isu-isu antara agama dan kaum.
Selamat berpuasa.




2 comments:

  1. tak berkesempatan tengok iklan tu~ even iklan masa raya tahun lepas pun, saya tak perasan. aishh

    ReplyDelete
  2. @dhiera - try carik kat youtube..mesti ada..

    ReplyDelete

Berkaitan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...